Kukuhkan kerjasama pelbagai pihak dalam bidang ICT



​​

Siaran Akhbar dan Foto : Pihak Berkuasa Industri Teknologi Maklumat Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 3 Mei. - Kumpulan Kerja Jawatankuasa Pandu Industri Tenaga Manusia bagi Sektor ICT (MISC-WG ICT) telah berjaya menamatkan 'retreat' kedua, baru-baru ini.

 

Retreat tersebut dimulakan dan diungkayahkan oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Maklumat Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) selaku Sekretariat MISC-WG ICT.

 

Acara separuh hari itu, yang diadakan di Bandar Seri Begawan, bertujuan untuk menambah baik hasil keseluruhan daripada MISC-WG ICT dengan membincangkan pengajaran yang dipelajari dan cabaran yang dihadapi untuk penambahbaikan yang mengiktiraf isu tenaga kerja yang dihadapi oleh sektor ICT dan menanganinya dengan mengenal pasti masa depan program-program MISC- WG ICT yang akan diselaraskan dengan keperluan dan permintaan tenaga manusia pada masa hadapan.

 

Hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif AITI, Ir. Haji Jailani bin Haji Buntar; dan Pengerusi InfoCom Federation Brunei (IFB), Pengiran Sarimah binti Pengiran Hj Abdul Latiff selaku peneraju bersama MISC-WG ICT.

 

Seramai 19 orang ahli daripada kerajaan, industri, institut pengajian tinggi dan latihan pembekal mengambil bahagian dalam 'retreat' tersebut.

 

Sejak penubuhannya pada Ogos 2020, MISC-WG ICT melaksanakan mandat yang diberikan oleh Jawatankuasa Pandu Industri Tenaga Manusia (MISC) di bawah Pejabat Perancang Tenaga Manusia (PPTM), menumpukan pada pemahaman permintaan pekerjaan dalam sektor MISC, mengenal pasti pekerjaan kritikal, dan bekerjasama dengan pihak berkepentingan industri untuk membangunkan kecekapan pekerjaan kritikal.

 

Melihat ke hadapan, MISC-WG ICT berhasrat untuk meningkatkan bilangan graduan tempatan yang berbakat dan pembangunan kerjaya di Negara Brunei Darussalam.

 

Menyedari keperluan mendesak untuk mempercepat bekalan dan permintaan tenaga kerja, kumpulan menyasarkan untuk menyusun semula strategi dan membangunkan lebih banyak strategi kerjasama untuk memperkukuh kesan inisiatifnya, terutama inisiatif seperti 'Coding.bn', akademi pengekodan Brunei yang pertama, yang membuahkan hasil memberangsangkan, di mana 75 peratus daripada peserta berjaya ditawarkan dalam pelbagai jawatan IT untuk Kohort 1 dan 58 peratus untuk Kohort 2.

 

Mengakhiri 'retreat' itu, MISC-WG ICT mengenal pasti beberapa program dan projek baharu untuk pembangunan dan pelaksanaan pada tahun-tahun akan datang.

 

Dengan komitmen yang teguh untuk menangani pengangguran dan jurang kemahiran dalam sektor ICT tempatan, MISC-WG ICT berdedikasi untuk peningkatan program digital dan ICT berterusan, untuk manfaat bakat tempatan di Negara Brunei Darussalam.

 

Untuk maklumat lanjut, pihak dan agensi yang berminat boleh menghubungi sekretariat di 'misc-ict@aiti.gov.bn'.

 

Close